RUKUN NEGARA
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA
mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara satu cara hidup Demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
Kepercayaan kepadà Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan udang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
“.... Saya menyeru warga Malaysia berusaha bersama saya memperkukuhkan perpaduan nasional. Kita harus mempertahan dan meningkatkan hubungan harmoni yang terjalin di kalangan warga yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Kita harus terus melakukan usaha membina satu kesatuan yang unik dari pelbagai perbezaan di antara kita. Kita perlu terus membina satu kesamaan identiti yang kukuh berakar dalam persekitaran negara Malaysia, berlandaskan segala keistimewaan yang terkandung dari pelbagai budaya. Kita hendaklah terus menghargai semangat toleransi dan saling menghormati yang menjadi penentu kepada kedamaian dan perpaduan yang kita capai....”
(YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi)
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum, agama, kebudayaan serta mengamalkan cara hidup yang berbeza. Oleh itu perpaduan negara adalah merupakan matlamat penting dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya.
Perpaduan negara adalah perkara yang dititikberatkan dalam penyusunan setiap strategi pembangunan dan pentadbiran supaya ia mampu mengekal dan mempertahankan kebebasannya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Menerusi perpaduan yang kukuh, tahap pencapaian ekonomi negara dapat dipertingkatkan supaya taraf hidup rakyat akan bertambah maju di samping mewujudkan suasana politik yang stabil. Kecemerlangan dalam bidang pendidikan, keharmonian masyarakat serta pembinaan sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera, bersatu padu, bermaruah dan berwawasan akan terhasil dan seterusnya menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Rukun Negara adalah merupakan satu ideologi negara yang mengandungi prinsipprinsip kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. Rukun Negara terbentuk akibat daripada Peristiwa 13 Mei, 1969 di mana berlaku rusuhan kaum yang menggugat keamanan dan keutuhan negara ketika itu. Ekoran daripada peristiwa tersebut sistem kerajaan berparlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan bertujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang negara dan memupuk suasana harmoni serta percaya mempercayai di kalangan rakyat secara berkekalan.
SEJARAH PEMBENTUKAN RUKUN NEGARA
Kedatangan lnggeris dan dasar imigrasi liberal yang diperkenalkan mereka telah menukar bentuk masyarakat negara ini. Kerajaan lnggeris telah menggalakkan kemasukan tenaga buruh dan negara China, India dan Indonesia untuk bekerja di lombong dan estet serta berniaga di bandar.
Di bawah dasar ‘pecah dan perintah’ kerajaan kolonial lnggeris, ketiga-tiga kumpulan etnik ini telah dipisahkan dari segi tempat tinggal dan pekerjaan. Kebanyakan orang Melayu tinggal di desa dan bekerja di sektor pertanian, sementara orang Cina tinggal di bandar dan melibatkan diri dalam perniagaan. Orang India pula tinggal dan bekerja di estet-estet, hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di bandar. Ketiga-tiga kumpulan etnik ini pula dipisahkan dari segi pendidikan dengan mempunyai sekolah aliran masing-masing tanpa sukatan pelajaran atau kurikulum yang sama. Keadaan ini berterusan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Pada tahun 1956 iaitu setahun sebelum kemerdekaan, kekacauan telah berlaku di Pulau Pinang semasa perayaan pemberian taraf bandar raya kepada Pulau Pinang. Perbalahan yang sama turut berlaku di Pangkor pada 1960, di Bukit Mertajam pada 1966 dan Pulau Pinang sekali lagi pada 1967. Peristiwa-peristiwa kekacauan ini hanya berlaku secara kecil-kecilan sahaja. Langkah dan usaha yang serius hanya dimulakan oleh pihak kerajaan setelah berlaku satu rusuhan kaum yang serius iaitu peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Akibat daripada peristiwa ini kerajaan telah mengambil Iangkah tegas untuk mencari satu formula bagi mengatasi masalah tersebut supaya tidak berulang lagi. Berikutan itu Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan oleh Pengarah MAGERAN di bawah Undang-Undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970.
Anggota-anggota Majlis Perundingan Negara terdiri daripada seorang Pengerusi (Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein merangkap Pengarah MAGERAN), tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abd. Rahman, Mendiang Tun Tan Siew Sin dan Mendiang Tun V.T. Sambanthan), wakil-wakjl kerajaan negeri dan wakil-wakil parti politik. Majlis ini juga mempunyai wakil-wakil dan kalangan tokoh agama, badan-badan profesional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, wartawan, persatuan guru-guru dan wakil-wakil kumpulan kecil.
Mesyuarat pertamanya telah diadakan pada 27 Januari 1970 yang dipengerusikan oleh Pengarah MAGERAN Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Setelah berbincang serta mengkaji sedalam-dalamnya selama beberapa bulan. Majlis Perundingan Negara tersebut telah merumuskan supaya satu ideologi negara yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diadakan di negara ini. Berasaskan keputusan tersebut maka lahirlah Rukun Negara yang telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong keEmpat pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara.
Setiap warganegara Malaysia hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara juga diadakan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, kepatuhan kepada Perlembagaan, kedaulatan undang undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai kesopanan dan kesusilaan.
Rukun Negara juga menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke arah pembentukan perpaduan nasional dan menjamin kesejahteraan masyarakat seterusnya melahirkan sebuah negara dan bangsa Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan.
Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
OBJEKTIF
Rukun Negara bercita-cita melahirkan masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu-padu dan bersikap terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat pelbagai keturunan. Cita-cita ini akan tercapai apabila objektif Rukun Negara diamalkan oleh setiap rakyat negara ini. Rukun Negara terbahagi kepada dua bahagian.
BAHAGIAN PERTAMA MENGGARISKAN OBJEKTIF MASYARAKAT MALAYSIA YANG MAHU DIBENTUK. OBJEKTIF TERSEBUT ADALAH SEBAGAIMANA
BERIKUT:
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara satu cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan
Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.
1. MENCAPAI PERPADUAN YANG LEBIH ERAT.
Semua rakyat hendaklah mendukung citacita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan masing-masing. Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai persoalan yang wujud.
Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidak seimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan mi, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.
2. MEMELIHARA SATU CARA HIDUP DEMOKRATIK
Perlembagaan Negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak-hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disalahgunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkan demokrasi.
Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara, kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum atau sesuatu pihak, jika tidak, kestabilan dan keselamatan negara akan terancam.
3. MENCIPTA SATU MASYARAKAT YANG ADIL
Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita-citakan itu bebas daripada penindasan seseorang terhadap yang lain
ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.
4. MEMBENTUK SATU SIKAP YANG LIBERAL
Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama, adat resam dan kebudayaan masing masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. Negara kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dan segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum. Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat di mana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada Bangsa dan Negara Malaysia.
5. MEMBINA SEBUAH MASYARAKAT PROGRESIF
Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.
Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.
PRINSIP
BAHAGIAN KEDUA MENGGARISKAN LIMA PRINSIP YANG BERIKUT :-
Kepercayaan Kepada Tuhan;
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara;
Keluhuran Perlembagaan;
Kedaulatan Undang-Undang; dan
Kesopanan dan Kesusilaan.
Bangsa dan negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama-agama dan kepercayaan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masingmasing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
2. kESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, RajaRaja dan yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Sikap kesetiaan seperti ini merupakan suatu nilai yang baik dan boleh menjadi kebanggaan kepada negara serta dapat dijadikan ikatan bagi memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada raja dan negara juga adalah salah satu faktor yang boleh menyatukan rakyat Malaysia.
Sebarang sikap atau pengaruh yang boleh
mengalihkan kesetiaan rakyat ke arah negara lain atau rakyat mengabaikan taat setia kepada negara Malaysia dan rajanya adalah merupakan elemen yang bertentangan sama sekali dengan prinsip Rukun Negara.
3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warganegara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
Aspek-aspek utama Perlembagaan yang dirangkumi oleh prinsip ini ialah berkaitan dengan kedudukan Sen Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi. Hak-hak istimewa orang Melayu di Semenanjung dan Bumiputera di Sabah dan Sarawakjuga terkandung di dalam Perlembagaan Negara.
Walau bagaimanapun, hak-hak yang adil bagi kaum bukan Bumiputera juga diberikan, seperti pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia kepada mereka sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Walaupun bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, perkembangan bahasa-bahasa lain adalah tidak dihalang.Orang bukan Islam bebas menganuti dan mengamalkan agama mengikut kepercayaan agama masing-masing. Hak asasi rakyat juga dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Kestabilan negara akan tergugat jika rakyat tidak menerima keluhuran Perlembagaan Negara. Lebih mendukacitakannya lagi jika ada sebilangan rakyat negara ini yang terus mempersoalkan dan mengkritiknya tanpa mengetahui asas penggubalannya. Menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Negara adalah suatu tanggungjawab yang mulia dan terpuji bagi setiap warganegara Malaysia.
4. KEDAULATAN UNDANG UNDANG
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang undang tidak boleh dipersendakan, sebaliknya mesti dihormati dan dipatuhi. Kedaulatan undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.
Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.
Kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan agar masyarakat dapat terus hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Kesedaran ini perlu diwujudkan dan dikekalkan dalam pemikiran rakyat negara ini.
5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan NiIai-NiIai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.
Kesopanan dan kesusilaan dapat dilihat pada tingkah laku dan tutur kata seseorang. Bahasa yang lembut dan bersopan santun serta tingkah laku yang baik akan menjamin perhubungan yang harmoni di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Prinsip ini jika dipraktikkan, akan dapat membentuk seseorang individu yang berdisiplin dan bermoral yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang baik, berbudi bahasa, bersopan santun dan bersusila serta dapat mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu.
KESIMPULAN
Perpaduan kaum adalah matlamat penting yang ingin dicapai oleh semua negara di dunia termasuklah Malaysia. la penting kerana tanpa perpaduan, sesebuah negara itu akan menjadi lemah, sukar untuk dibangunkan dan mudah diancam sama ada oleh kuasa luar atau dalam negara itu sendiri.
Rukun Negara dicipta ekoran daripada rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini telah menyedarkan kita semua, yakni rakyat Malaysia akan betapa pentingnya bersatu-padu dan hidup dengan aman dan damai serta menghindari sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain.
Mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bermuhibah tanpa mengira kaum. serta bersikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Melalui perpaduan akan dapat membantu negara kita mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan