Isnin, 14 Disember 2009

Abiu (Pouteria caimito Radlk)


Abiu (Pouteria caimito Radlk) adalah sejenis tanaman malar hijau yang tergolong dalam keluarga Sapotaceae. lanya berasal dari kawasan tanah rendah Amazon di Brazil dan kini telah tersebar luas di Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Di Sabah tanaman ini telah mula ditanam di Stesen Penyelidikan Pertanian, Tenom pada tahun 1984 sebagai salah satu koleksi janaplasma buah-buahan dari luar negeri yang berpotensi unruk dibangunkan.
Pokok abiu adalah sederhana besar dengan ketinggian boleh mencapai sehingga 10 meter. Daunnya tersusun secara berselang (alternate), berbentuk sama ada obovat atau eliptik, bersaiz 10-20 cm panjang dan 3-6 cm lebar. Bunganya jenis hermaprodit, berwarna putih dan keluar dari aksil daun sama ada secara tunggal atau berkelompok antara 2-5 kuntum setiap kelompok. Buah yang muda berwarna hijau, berbentuk eliptik atau bulat, berkulit licin dan kadangkala mempunyai ‘nipple’ yang pendek sebelah bawah buah, tangkai buah yang pendek dan mengandungi banyak cairan bergetah. Buah yang masak berwarna kuning berkilat dan kurang bergetah. Isinya berwarna putih krim, berjus, tekstur halus dan lembut, manis, aroma harum, sedikit bergetah dan mengandungi 1-4 biji yang berwarna hitam dan berbentuk oblong.
Abiu boleh dibiak sama ada melalui biji benih atau secara pembiakkan tampang. Jenis pembiakkan tampang yang sesuai dilakukan ialah cantuman baji ataupun canruman sisi. Anak pokok yang dibiak cara tampang boleh ditanam ke ladang 4-5 bulan selepas mencantum. Biji benih abiu haruslah disemai secepat mungkin (1-2 hari) bagi menjamin pertumbuhan yang baik. Anak pokok dibiak dari bijibenih boleh ditanam ke ladang bila mencapai umur 6-8 bulan selepas disemai. Pokok abiu yang dibiak secara tampang akan mula mengeluarkan buah antara 1-2 tahun selepas ditanam di ladang sementara itu pokok yang dibiak melalui bijibenih hanya mulai berbuah 2-4 tahun selepas menanam.
<< Menu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan